Tuesday, April 28, 2009

MENGUMPAT / GHIBAH

MENGUMPAT / GHIBAH
1. Mukaddimah
Tajuk diatas merupakan suatu tajuk yang kurang senang untuk didengari kerana ianya suatu tabiat yang sering kita lakukan dalam kehidupan seharian; malah ada ketikanya menjadi kegemaran pula. Renungan yang dimaksudkan berkaitan dengan mengumpat atau ghibah. Ianya adalah bersangkutan dengan kehormatan dan keperibadian seseorang. Ia bukan sahaja menimbulkan keaiban kepada orang yang diumpat malah menampakkan keaiban serta keburukan Si pencerita.
Allah (S.W.T.) telah menetapkan nash yang berupa celaan keras tentang mengumpat dalam firmannya :
Janganlah sesetengah dari kamu semua itu mengumpat sesetengahnya. Apakah seseorang itu suka makan daging saudaranya dalam keadaan telah mati, tentulah kamu semua tidak menyukainya yang sedemikian itu;(Surah Hujurat ayat 12)
Rasullah (S.A.W.) pula pernah berpesan agar kita menjaga lidah mengenai hal orang yang membuka rahsia orang lain dalam sabdanya:
Wahai kumpulan orang yang beriman dengan lidahnya tetapi tidak masuk kedalam jiwanya! Janganlah kamu mengumpat orang Islam dan janganlah mengesan atau mencari-cari rahsia mereka kerana barang siapa mengesan rahsia mereka, Allah akan buka rahsianya. Dan barang siapa Allah buka rahsianya maka dimalukan dia dalam rumahnya (sekali pun dirahsiakannya).
Dalam hal ini pernah Talhah (sahabat Rasullah(S.A.W.)) menyesali tindakannya mengesan tingkahlaku Saidina Umar yang sering berkunjung ke rumah seorang perempuan buta yang lumpuh kerana membantu wanita tersebut.
Dengan itu adalah penting seseorang cuba menutup kelemahan saudaranya kerana ganjaran besar yang akan diterima disamping jaminan kelemahan/keaibannya ditutupi oleh Allah, atau sekurang-kurangnya takut kepada amaran Allah (S.W.T) dalam firmannya:
Sesungguhnya mereka yang suka menyebar kejahatan dalam golongan orang - orang yang beriman, akan mendapat ahzab yang payah didalam dunia dan akhirat;(Surah Al-Nur ayat 19)

No comments: